Jumat, 09 Desember 2011

Ketibaan orang Eropah

Penjelajah Eropah pertama yang mengelilingi Tanjung Harapan adalah penjelajah Portugis Bartolomeu Dias. Beliau berlabuh di Tanjung Harapan pada Mac 1488. Pada mulanya, beliau memanggil tempat ini Tanjung Ribut Taufan atau Cape of Storms tetapi kemudiannya ia dinamakan semula oleh Raja John II dari Portugal sebagai Tanjung Harapan atau Cape of Good Hope (Cabo da Boa Esperança) sebab ia menandakan terbukanya jalan laut ke Timur.

Penempatan Eropah yang pertama di Afrika Selatan ialah di Table Bay (kini Cape Town) oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada tahun 1652. Pada asalnya, ia ditubuhkan sebagai pusat bekalan untuk kapal-kapal yang lalu di sana. Namun demikian, koloni ini kian berkembang apabila petani-petani Belanda membuka ladang-ladang mereka di penempatan ini. Selepas itu, hamba-hamba abdi telah diimport dari Afrika Timur, Madagascar dan India Timur, untuk bekerja di ladang mereka.
Pada tahun 1679, syarikat VOC mengambil keputusan untuk meningkatkan pengeluaran pertanian di penempatan ini dengan menggalakkan lebih ramai penduduk Eropah berpindah ke sini. Para peneroka berbangsa Jerman dan Belanda telah ditawarkan ladang percuma sekiranya mereka datang ke Cape. Pada tahun 1688, beberapa ratus orang berbangsa Huguenots yang lari daripada penindasan kerajaan Perancis telah berpindah ke Cape dan diberi tanah di penempatan ini. Peneroka-peneroka tersebut kemudiannya menerima budaya serta bahasa Belanda dengan hati yang terbuka. Sebagai peladang, mereka menanam gandum yang banyak dan bijirin yang lain untuk dijual ke VOC. Di samping itu, mereka menanam pokok anggur untuk dijadikan wain dan brandi - produk yang mempunyai permintaan yang tinggi di kalangan pelayar-pelayar Belanda dan juga boleh dieksport ke Eropah. Namun demikian, ekonomi yang utama untuk para peneroka adalah ternakan, yang memerlukan kawasan padang rumput yang luas. Malangnya, tanah di Cape agak terhad dan kurang subur. Pada akhir abad itu, ladang rumput yang terhad menjadi suatu masalah besar bagi peneroka-peneroka di penempatan ini.
Akibatnya, pada tahun 1700 petani-petani ini telah menceroboh masuk ke wilayah kerajaan Bantu, 700km ke timur Cape Town. Ini menimbulkan konflik antara pihak pendatang dengan puak Bantu dan Xhosa dan ia mencetuskan peperangan selama satu abad, di mana pihak Belanda telah berjaya menakluki kerajaan Xhosa. Pada masa yang sama, tempat-tempat di luar jangkauan Belanda telah menubuhkan kerajaan yang baru iaitu kerajaan Zulu.
Sekumpulan Boer Voortrekkers di Karoo
Pada 1820-an, pemimpin Zulu yang terkenal iaitu Shaka telah menubuhkan kerajaan yang besar di tenggara Afrika iaitu Lesotho dan kerajaan Sotho-Tswana yang lain. Sementara itu bermula pada 1830-an, kaum kerabat peneroka Belanda yang pertama, yang dikenali sebagai Boer Voortrekkers memulakan migrasi ke bahagian utara Afrika Selatan.
Pihak Britain telah menduduki Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) pada 1806 dan kemudiannya daerah Natal. Sepanjang abad 1800, pengaruh Eropah mula berkembang ke arah timur. Manakala pada pertengahan 1800, kumpulan Voortrekkers (Bahasa Afrikaan yang bermaksud perintis) telah menubuhkan dua republik kaum kulit putih, Zuid-Afrikaansche Republiek (ZAR) atau Republik Afrika Selatan di Transvaal dan Orange Free State.

[sunting] Revolusi Galian

Penemuan berlian di utara Cape pada 1860-an telah menarik berpuluh ribu orang ke bandar Kimberley. Pada 1871, pihak British telah merampas semua lombong berlian di negara ini. Mereka juga telah menakluki daerah-daerah kulit hitam yang berakhir dengan perang Anglo-Zulu pada 1879, di mana kerajaan Zulu telah jatuh ke tangan penjajah British.
Pembukaan lombong emas Witwatersrand pada tahun 1886 merupakan titik perubahan bagi sejarah Afrika Selatah. Permintaan bagi hak francais untuk pendatang penutur bahasa Inggeris yang bekerja di lombong emas baru yang kaya ini merupakan alasan yang digunakan oleh Britain bagi memulakan peperangan dengan Transvaal and Orange Free State pada tahun 1899. Pada mulanya, pihak British kalah teruk di tangan penduduk Boers tetapi akhirnya kekuatan empayar British berjaya menundukkan pasukan gerila Boers (yang dikenali sebagai komando) dan peperangan berakhir pada tahun 1902. Polisi bumi hangus Britain termasuk membakar ladang dan penahanan anak dan isteri Boer termasuk penduduk kulit hitam yang berada dalam laluan mereka. Beribu-ribu mati dalam kem tahanan. Pihak Boers sedar bahawa penentangan berterusan akan menyebabkan mereka lenyap dari bumi Afrika Selatan. Oleh itu, pada 31 Mei, 1902 pihak Boers dan British telah menandatangani Perjanjian Vereeniging di Pretoria. Perjanjian ini memberikan kuasa penuh kepada pihak British untuk mentadbir Afrika Selatan. Manakala, pihak British bersetuju untuk membayar hutang perang kerajaan Boer sebanyak £3,000,000. Di samping itu, penduduk Boers telah diberi hak kerakyatan istimewa di Afrika Selatan.

0 komentar:

Posting Komentar